30 Pegawai Kanan SCS Ikuti Program Kepimpinan Awam Di Singapura
SINGAPURA: Seramai 30 pegawai kanan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) menyertai program pembelajaran intensif selama lima hari menerusi ‘Public Leadership in Action: Navigating Policy Design and Governance’ di Singapura dari 14 hingga 18 September 2026.
Program anjuran Leadership Institute of Sarawak Civil Service (LISCS) dengan kerjasama Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia Negeri Sarawak (HRDM) serta Lee Kuan Yew School of Public Policy (LKYSPP) itu memberikan pendedahan strategik kepada pegawai kanan dalam aspek pentadbiran awam, ‘foresight’ dan pelaksanaan dasar dalam persekitaran kompleks.
Program berkenaan turut memberi tumpuan kepada reka bentuk dasar dan kebolehsuaian kompleks, kepimpinan adaptif serta tadbir urus bagi memperkukuh keupayaan peserta dalam menyusun dasar, menganalisis landskap sosioekonomi dan mengantisipasi cabaran tadbir urus awam.
Peserta turut mengikuti sesi dialog strategik bersama tokoh Singapura, termasuk Yaacob Ibrahim, Lim Siong Guan dan Adrian Kuah, yang membincangkan aspek praktikal tadbir urus, integriti sektor awam dan strategi pembangunan negara.
Selain itu, lawatan penanda aras ke Open Government Products, Municipal Services Office (MSO) dan Jurong Integrated Hub memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai inovasi perkhidmatan awam dan pelaksanaan perkhidmatan berteraskan teknologi.
Melalui gabungan pembelajaran akademik, dialog strategik dan lawatan penanda aras, program tersebut mempersiapkan pegawai kanan dengan instrumen tadbir urus bagi memperkasakan perkhidmatan awam.
Pendedahan antarabangsa itu juga membantu pegawai menterjemahkan dasar makro kerajaan kepada sistem penyampaian awam yang berimpak tinggi dan berorientasikan rakyat.-EDISI UKAS