KUCHING: Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn. Bhd. merancang memperluaskan kilang pengeluaran kapasitor cip seramik berbilang lapisan di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, dengan projek itu disasarkan siap pada Oktober 2028.
Cadangan berkenaan dibentangkan ketika kunjungan hormat syarikat tersebut kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, di sini pada Jumaat.
Kunjungan tersebut diketuai Presiden Kelab Jepun Kuching, Madam Sakai Kazue bersama Pengarah Taiyo Yuden Sarawak, Shinozaki Yoshihiko.
Perluasan itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat, selain mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, memperkukuh pembangunan modal insan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Datuk Amar Awang Tengah turut menghargai komitmen Taiyo Yuden kepada Sarawak sejak 1994 dan menegaskan sokongan Kerajaan Sarawak terhadap usaha pengembangan syarikat berkenaan.
Beliau turut mengiktiraf peranan Taiyo Yuden dalam memperkukuh ekosistem industri dan pembuatan berteknologi tinggi di Sarawak.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Penasihat MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais, Timbalan Setiausaha Tetap MINTRED Lo Sheau Sia dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sarawak Jona Kerani.-EDISI UKAS