Jaringan Kerjasama Kukuh Perkasa Kesiapsiagaan Bencana
KUCHING: Jaringan kerjasama kukuh merentasi profesion, agensi dan negara menjadi asas penting dalam memperkasa kesiapsiagaan serta tindak balas terhadap bencana yang semakin kompleks.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, pengurusan bencana tidak lagi boleh bergantung kepada satu profesion atau negara semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan sektor kesihatan, agensi penyelamat, kerajaan, penyelidik, pakar teknologi, organisasi kemanusiaan dan komuniti.
“Jaringan dalam pengurusan bencana bukan sekadar pertukaran nombor hubungan atau pertemuan di persidangan, tetapi mengenai kepercayaan, memahami keupayaan rakan kerjasama dan bersedia bekerja bersama apabila komuniti paling memerlukan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Penyelidikan Antarabangsa Ke-9 World Society of Disaster Nursing (WSDN) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Jumaat.
Menurut Datuk Amar Profesor Dr Sim, cabaran seperti perubahan iklim, jerebu rentas sempadan, kemarau, penyakit berjangkit, bencana teknologi serta kecemasan kemanusiaan menuntut pendekatan pengurusan bencana yang lebih bersepadu dan menyeluruh.
Katanya, pengalaman Sarawak menangani pandemik COVID-19 turut membuktikan kepentingan kerjasama antara kepimpinan kerajaan, sektor kesihatan dan pelbagai agensi bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan ketika berdepan krisis.
Dalam pada itu, beliau menekankan peranan penting jururawat sebagai petugas barisan hadapan dalam keseluruhan kitaran pengurusan bencana, merangkumi aspek kesiapsiagaan, pendidikan komuniti, tindak balas kecemasan, pemulihan serta pembinaan daya tahan masyarakat.
“Jururawat mempunyai hubungan rapat dengan pesakit, keluarga dan komuniti, memberikan mereka perspektif unik yang mesti dimasukkan dalam perancangan dan pembuatan keputusan berkaitan bencana,” ujarnya.
Tambahnya, pembinaan daya tahan masyarakat memerlukan penglibatan dan koordinasi berterusan antara semua pihak agar komuniti lebih bersedia menghadapi sebarang bentuk bencana atau kecemasan pada masa hadapan.
Persidangan WSDN 2026 yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan pakar, pengamal dan penyelidik dari dalam serta luar negara bagi memperkukuh pertukaran ilmu, penyelidikan dan amalan dalam bidang kejururawatan serta pengurusan bencana.
Turut hadir, Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dato’ Dr Ahmad Faris Ismail, Pengerusi World Society of Disaster Nursing, Profesor Sonoe Mashino, serta Pengerusi Persidangan WSDN 2026, Dr Nurul’Ain Ahayalimudin. -EDISI UKAS