Pembangunan Batang Ai Cipta Peluang Ekonomi, Pekerjaan Untuk Generasi Muda
LUBOK ANTU: Pembangunan di kawasan Batang Ai bergerak seiring dengan usaha memperluas aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan supaya generasi muda dapat membina masa depan serta menikmati manfaat pembangunan di kawasan sendiri.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, golongan muda perlu diberikan ruang dan peluang untuk terlibat dalam sektor pekerjaan serta memanfaatkan potensi ekonomi yang terdapat di kawasan setempat.
Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja perlu memenuhi keperluan infrastruktur masyarakat, malah turut berupaya merangsang kegiatan ekonomi yang boleh memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Lawatan Tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 dan Randau Bersama Pemimpin di Rumah Panjang TR Lagie @ Danny Gindy Anak Anyang, Nyemungan Panjai, di sini pada Khamis.
Pada program itu, Datuk Dr Malcolm turut mengumumkan peruntukan keseluruhan RM250,000 menerusi RTP bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih rumah panjang berkenaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM100,000 diperuntukkan menerusi RTP 2026, manakala RM150,000 lagi menerusi RTP 2027.
Selain itu, beliau turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM35,000, masing-masing RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Lagie @ Danny Gindy, RM10,000 kepada Gerempong Indu JKKK Rumah Lagie @ Danny Gindy dan RM5,000 kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Rosaline Neging, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu, Tubau Limbai, Pemanca Grang Juben, Penghulu Lepang, Penghulu Johnson, Penghulu Entri, Penghulu Jaul, Penghulu Pegie, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA), Kaunselor Larkin Gol, Pengerusi Pembangunan Komuniti dan Pelancongan MDLA, Kaunselor Ugil Jok, ketua-ketua masyarakat, ahli-ahli MDLA serta penduduk setempat.-EDISI UKAS