Pendidikan Pelaburan Masa Depan, Mampu Ubah Taraf Hidup
LUBOK ANTU: Pendidikan merupakan pelaburan penting untuk masa hadapan yang mampu mengubah taraf hidup seseorang selain melahirkan modal insan berkualiti untuk menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, usaha menuntut ilmu memerlukan perancangan, disiplin dan komitmen berterusan bagi membolehkan seseorang mencapai kejayaan.
Menurutnya, semangat untuk terus menimba ilmu perlu dipupuk sejak di bangku sekolah sehingga anak-anak berupaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Semangat untuk terus belajar perlu dipupuk dalam kalangan anak-anak sehingga mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
"Pendidikan mampu mengubah taraf hidup seseorang, sekali gus melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan serta pentadbiran kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) P203 Lubok Antu dan Merarau SK Nanga Tebat di Restoran Pui Garden di sini pada Jumaat.
Pada majlis itu, Roy Angau turut mengumumkan peruntukan RM15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanga Tebat bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti sekolah.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan pelajar supaya memanfaatkan pelbagai inisiatif yang disediakan Kerajaan Sarawak dalam usaha membantu anak-anak Sarawak mendapatkan akses kepada pendidikan yang lebih baik.
Mengenai Projek RTP di SK Nanga Tebat, Roy Angau berkata, pelaksanaannya bertujuan menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif kepada pelajar, guru serta kakitangan sekolah.-EDISI UKAS