Damai Akan Dibangun Sebagai Pintu Masuk Pelancong Antarabangsa
KUCHING: Damai berpotensi menjadi pintu masuk pelancong antarabangsa ke Sarawak menerusi perancangan pembangunan infrastruktur terminal kapal persiaran yang mampu membawa antara 2,000 hingga 3,000 penumpang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perancangan pembangunan terminal itu selari dengan usaha memperluas tarikan pelancongan di bahagian Kuching, khususnya melalui kemudahan yang berpotensi meningkatkan akses pengunjung antarabangsa ke negeri ini.
Menurut beliau, cadangan membawa kapal persiaran dari Singapura ke Kuching itu merupakan antara usaha memperluas akses pelancongan negeri, khususnya bagi membolehkan pelawat menikmati tarikan budaya Sarawak.
“Di Damai kita akan bangunkan satu infrastruktur yang membolehkan kapal persiaran melawat Kuching.
“Sudah ada cadangan daripada Singapura untuk kapal datang ke Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Kuching di Metrocity, Matang pada Rabu.
Katanya, kapal berkenaan berpotensi membawa antara 2,000 hingga 3,000 pelancong yang akan berlabuh di Damai bagi melihat dan menikmati budaya yang terdapat di Sarawak.
Menurutnya, pembangunan terminal kapal persiaran itu merupakan antara perancangan masa depan negeri dalam memperluas kemudahan infrastruktur, selain membuka peluang kepada Kuching untuk terus berkembang sebagai destinasi yang mampu menarik kunjungan pelancong dari luar negara.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur perlu dilihat berdasarkan keperluan dan potensi masa depan, bagi membolehkan Kuching berkembang sebagai bandar yang mempunyai daya tarikan di peringkat dunia.
Katanya, Sarawak perlu terus bergerak ke hadapan dengan meneroka pembangunan baharu dan tidak hanya bergantung kepada pendekatan pembangunan konvensional, sebaliknya mengambil kira potensi sektor serta infrastruktur yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi serta ketua-ketua jabatan. -EDISI UKAS