Kemudahan Air, Pertanian Pintar Layar Terus Diperkasa
BETONG: Usaha memperkukuh bekalan air serta memodenkan sektor pertanian di kawasan Layar terus diberi perhatian menerusi pemantauan kemajuan projek Pengambilan Air Mentah baharu di Loji Rawatan Air Lubau dan Projek Hidroponik serta Fertigasi di Stesen Pertanian Bersepadu Layar.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, meninjau kedua-dua projek berkenaan pada Jumaat.
Lawatan ke tapak pembinaan Pengambilan Air Mentah baharu di Loji Rawatan Air Lubau bertujuan memastikan projek tersebut berjalan mengikut jadual yang ditetapkan, selain meninjau keadaan pengoperasian pengambilan air mentah sedia ada yang terjejas akibat keadaan kemarau di kawasan berkenaan.
Beliau turut diiringi Jurutera Air Bahagian, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Betong, Andres Inchatekoster.
Datuk Gerald kemudiannya turut meninjau Tapak Awalan Penyediaan Tapak Projek Hidroponik dan Fertigasi di Stesen Pertanian Bersepadu Layar yang dilaksanakan menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), dengan tempoh pelaksanaan bermula 13 Julai 2026 hingga 12 Oktober 2028.
Beliau menekankan kepentingan memastikan projek tersebut dilaksanakan mengikut perancangan bagi menyediakan kemudahan yang mampu menyokong penerapan teknologi pertanian pintar serta kaedah pertanian moden dalam kalangan komuniti setempat.
Tapak berkenaan bakal dilengkapi kemudahan serta menyediakan latihan berkaitan pertanian pintar dan pertanian moden, sekali gus menyokong usaha meningkatkan keupayaan serta produktiviti sektor pertanian di kawasan Betong.
Usaha tersebut dilihat selari dengan keperluan memperluas penggunaan teknologi dalam sektor pertanian bagi membantu komuniti setempat meningkatkan hasil pengeluaran dan kecekapan pengurusan pertanian.
Lawatan ke Stesen Pertanian Bersepadu Layar turut diiringi Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Leo Toni. -EDISI UKAS