RM18 Juta Bina Pusat Komuniti Bidayuh, Siap Suku Pertama 2028
BAU: Projek pembinaan Pusat Komuniti Bidayuh bernilai RM18 juta di Bau Golden Square dijangka siap pada suku pertama 2028.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, meninjau perkembangan projek berkenaan ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak tersebut pada Jumaat.
Projek yang terletak di Plot 36, Blok 1, Bau Golden Square itu dibangunkan di atas kawasan seluas 582 meter persegi dan dilaksanakan oleh Majlis Daerah Bau (MDB) sebagai agensi pelaksana.
Pusat komuniti berkenaan bertujuan menyediakan ruang serbaguna yang selesa dan kondusif bagi membolehkan penduduk kampung menjalankan pelbagai aktiviti, termasuk program kemasyarakatan dan kegiatan komuniti.
Lawatan itu turut memberi tumpuan kepada perkembangan pelaksanaan projek bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan mengikut perancangan dan mencapai sasaran siap yang ditetapkan.-EDISI UKAS