Persempadanan Semula DUN Sarawak Tuntut Komitmen Lebih Tinggi Wakil Rakyat
BINTANGOR: Cadangan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bakal meningkatkan tanggungjawab wakil rakyat susulan pertambahan keluasan kawasan serta jumlah kampung, rumah panjang, sekolah dan daerah mengundi yang perlu diberikan perhatian.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, keadaan itu memerlukan komitmen lebih tinggi dan pendekatan kerja yang lebih tersusun bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Sekiranya persempadanan semula ini diluluskan, tanggungjawab kita akan menjadi lebih besar. Kawasan semakin luas dan bilangan kampung, rumah panjang serta sekolah yang perlu diberi perhatian juga akan bertambah.
“Justeru, kita perlu bekerja lebih kuat, lebih tersusun dan memastikan pembangunan dilaksanakan secara sekata mengikut keperluan setiap kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi randau bersama Ketua-Ketua Kaum dan Masyarakat di Masjid Darul Ibadah, Kampung Tanjung Bundong, di sini pada Jumaat.
Datuk Abdullah berkata berdasarkan cadangan persempadanan semula berkenaan, kawasan N.42 Semop dicadangkan ditukar nama kepada N.50 Muara Lassa.
Menurutnya, pertambahan keluasan kawasan turut memberi cabaran dari segi jarak dan perhubungan, sekali gus menuntut wakil rakyat untuk lebih kerap turun padang serta memahami keperluan masyarakat di setiap pelosok kawasan.
“Jarak yang luas memerlukan komitmen besar daripada seorang wakil rakyat. Tanpa mengira masa dan keadaan, tanggungjawab perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
“Yang penting, rakyat di setiap pelosok kawasan mesti merasakan mereka mendapat perhatian dan manfaat daripada pembangunan yang dirancang,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah menyatakan kesediaannya untuk meneruskan khidmat sekiranya diberi kepercayaan untuk dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Namun, beliau berkata sebarang keputusan berkaitan pencalonan merupakan hak kepimpinan parti dan akan diterima dengan penuh keikhlasan.
“Sekiranya saya dicalonkan, saya akan terus bekerja dan memberikan komitmen sepenuhnya kepada rakyat.
“Sekiranya tidak dicalonkan, saya terima dengan ikhlas. Saya menghormati keputusan kepimpinan parti, selaras dengan apa yang telah dinyatakan oleh Premier Sarawak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa soal pencalonan tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab untuk terus memastikan pembangunan serta kepentingan rakyat menjadi keutamaan. -EDISI UKAS