14 Pempamer Himpun Pilihan Hartanah, Mudahkan Masyarakat Buat Perbandingan
MIRI: Sebanyak 14 pempamer dari Miri, Bintulu, Samalaju dan Kuching menyertai SHEDA Miri Home and Property Roadshow 2026 bagi memberi akses lebih luas kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat serta membandingkan produk dan perkhidmatan berkaitan keperluan rumah dan hartanah.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, penyertaan pelbagai pemain industri dalam satu platform memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat secara terus sebelum membuat pertimbangan berkaitan pemilikan kediaman atau pelaburan hartanah.
Beliau berkata, pendekatan itu amat bermanfaat kepada pembeli rumah pertama, mereka yang merancang menaik taraf kediaman serta individu yang ingin meneroka peluang pelaburan dalam sektor hartanah.
“Dengan penyertaan pelbagai pemaju, ejen hartanah, pembekal dan pemain industri lain, pengunjung berpeluang berinteraksi secara terus dengan pihak berkaitan, memahami produk yang ditawarkan serta membuat keputusan berdasarkan keperluan dan keadaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pembukaan SHEDA Miri Home and Property Roadshow 2026 di Pusat Beli Belah Bintang Megamall, di sini, pada Jumaat.
Menurut Adam, penyertaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut memberi nilai tambah kepada pengunjung dengan menyediakan ruang untuk mendapatkan maklumat berkaitan kemudahan dan pilihan KWSP yang boleh dimanfaatkan dalam usaha memiliki rumah.
SHEDA Miri Home and Property Roadshow 2026 berlangsung selama empat hari dari 17 hingga 20 September di Ground Floor, West Court, Bintang Megamall Miri.
Roadshow anjuran SHEDA Cawangan Miri itu mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan keperluan rumah serta hartanah untuk pertimbangan pengunjung.-EDISI UKAS