BAU: Tiga projek pembangunan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) menjadi fokus lawatan kerja Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, pada Jumaat.
Lawatan berkenaan melibatkan cadangan projek naik taraf Bau Sports Arena di Jalan Jambusan, projek naik taraf Dewan Suarah Bau serta pembinaan Pusat Komuniti Bidayuh di Bau Golden Square.
Datuk Henry memulakan lawatan di Bau Sports Arena dengan meninjau cadangan skop kerja naik taraf kemudahan berkenaan.
Antara cadangan tersebut ialah pembinaan pagar dan pondok pengawal, penyediaan peralatan gimnasium dan sukan, bilik persalinan, pemasangan penutup longkang, penyediaan peralatan pejabat serta pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau kemudian meneruskan lawatan ke Dewan Suarah Bau bagi meninjau pelaksanaan projek naik taraf yang melibatkan pemasangan eskalator dan sistem lif bagi meningkatkan kemudahan serta keselamatan pengguna dan pengunjung.
Lawatan seterusnya diteruskan ke tapak pembinaan Pusat Komuniti Bidayuh bernilai RM18 juta di Bau Golden Square.
Pusat komuniti berkeluasan 582 meter persegi itu dijangka siap pada suku pertama 2028 dan bakal menyediakan ruang serbaguna yang selesa serta kondusif bagi kegunaan masyarakat setempat menjalankan pelbagai aktiviti.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Datuk Ik @ Pahon Joyik, Ketua Unit Pembangunan Sarawak Sports Corporation (SSC), Hafyqri Kameri, Ketua Unit GKCDA, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching, Sandra Jujane Jutim dan Setiausaha Majlis Daerah Bau (MDB), Ong Chin Ping. -EDISI UKAS