KUCHING: Sarawak mahu memastikan penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027 bukan sekadar mencatat kejayaan sebagai tuan rumah, tetapi meninggalkan legasi jangka panjang menerusi peningkatan kemudahan sukan, pengukuhan persatuan serta pembangunan kepakaran pegawai teknikal, sukarelawan dan tenaga pengurusan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Tempatan (LOC) Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata, legasi tersebut menjadi antara matlamat utama Sarawak sebagai tuan rumah bersama temasya berkenaan.
Menurutnya, kejayaan penganjuran tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kelancaran pertandingan, sebaliknya turut mengambil kira manfaat jangka panjang yang dapat dinikmati Sarawak selepas temasya itu berakhir.
“Selepas temasya, kita akan mempunyai kemudahan sukan yang lebih baik seperti Stadium Sarawak yang baru sahaja dinaik taraf untuk upacara pembukaan.
“Kita juga akan mempunyai persatuan sukan yang lebih kukuh selepas pengalaman ini, selain pegawai, sukarelawan dan tenaga teknikal yang lebih berpengalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran ‘Countdown’ Satu Tahun Menuju Sukan SEA Malaysia 2027 di sini pada Jumaat.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Datu Hii menambah, pengalaman sepanjang persiapan dan penganjuran temasya itu juga akan meningkatkan keupayaan Sarawak dalam mengendalikan kejohanan sukan bertaraf lebih besar pada masa akan datang.
Katanya, Sukan SEA 2027 perlu dimanfaatkan sebagai platform untuk membina kapasiti dan kepakaran dalam pengurusan acara sukan antarabangsa, selain memperkukuh infrastruktur sukan sedia ada.
Menurut Datu Hii, skala penganjuran tersebut menuntut persiapan rapi serta penyelarasan berterusan antara semua pihak dalam tempoh setahun menjelang temasya.
“Dengan berbaki satu tahun, kerja di hadapan kita akan menjadi sangat intensif. Persiapan mesti diteruskan dengan penyelarasan yang kukuh, kerjasama erat dan rasa tanggungjawab bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Larian Obor Sukan SEA 2027 akan bermula di Limbang sebelum merentasi kesemua 12 bahagian di Sarawak dan berakhir di Kuching menjelang temasya berkenaan.
Menurutnya, Larian Obor itu bukan sekadar perjalanan simbolik, sebaliknya menjadi wadah menyatukan komuniti serta mewujudkan rasa pemilikan bersama dalam kalangan rakyat Sarawak terhadap penganjuran Sukan SEA 2027.
“Ini bukan acara kerajaan, tetapi acara untuk semua rakyat Sarawak banggakan,” katanya lagi.
Sukan SEA Malaysia 2027 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 dengan upacara pembukaan di Stadium Sarawak pada 18 September.
Sarawak akan menjadi gelanggang bagi 18 daripada keseluruhan 43 sukan yang dipertandingkan, melibatkan kira-kira 281 daripada 480 acara sepanjang temasya tersebut.
18 sukan berkenaan ialah akuatik, wushu, kriket, menembak, taekwondo, muay thai, bola keranjang, boling tenpin, tenis, e-sukan, petanque, skuasy, memanah, boling padang, gimnastik, angkat berat, golf dan ‘dance sport’.-EDISI UKAS