Persiapan 11 Venue Sukan SEA Di Sarawak Hampir Semua Mendahului Jadual
KUCHING: Persiapan 11 venue Sukan SEA Malaysia 2027 di Sarawak kini berada pada landasan positif apabila hampir kesemuanya mendahului jadual, termasuk Stadium Sarawak yang bakal menjadi lokasi upacara pembukaan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan itu menunjukkan kerja naik taraf venue berjalan lancar menjelang temasya yang akan berlangsung pada September tahun depan.
“Daripada 11 venue yang dibuat naik taraf, hampir semua mendahului jadual, termasuk dengan stadium utama, Stadium Sarawak, di mana perasmiannya akan dibuat kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran ‘Countdown’ Satu Tahun Menuju Sukan SEA Malaysia 2027, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, beliau menerima taklimat berkaitan persiapan venue sehari sebelum majlis berkenaan dan mendapati kebanyakan kerja naik taraf berada pada tahap lebih awal daripada perancangan.
Selain venue pertandingan, Dato Sri Abdul Karim berkata Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan ‘International Broadcasting Centre’ (IBC) yang akan menjadi pusat penyiaran dan penyaluran maklumat serta data pertandingan ke negara-negara peserta dan seluruh dunia.
Katanya, IBC yang dibangunkan bersebelahan Bangunan Baitulmakmur itu juga kini berada pada landasan lebih awal daripada jadual.
“Di sanalah penyiaran, penyebaran berkenaan dengan maklumat dan data-data tertentu ke negara-negara yang terlibat dan juga dunia.
“Kita agak fokus supaya data-data, maklumat dan sebagainya mudah disalurkan kepada negara-negara terlibat kerana mereka juga mahu melihat apa yang berlaku dari minit ke minit, jam ke jam,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata aspek komunikasi dengan kontijen antarabangsa turut diberi perhatian melalui penyediaan jurubahasa bagi membantu atlet dan pegawai dari negara-negara yang mungkin tidak memahami Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
Beliau turut memaklumkan bahawa pegawai penghubung juga akan disediakan bagi membantu mengurus dan membimbing setiap kontijen sepanjang berada di Sarawak. -EDISI UKAS