Lebih RM6.6 Juta Disalur Bantu Penduduk Terjejas Kemarau
KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah membelanjakan RM6.636 juta bagi menyalurkan bantuan air kepada penduduk yang terjejas akibat musim kemarau di seluruh Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bantuan berkenaan melibatkan 492,671 botol air berkapasiti 1.5 liter yang disalurkan kepada 204,365 orang bagi tempoh Ogos hingga 14 September 2026.
Beliau berkata jumlah bantuan tersebut mencerminkan skala usaha yang digerakkan bagi memastikan penduduk yang terjejas mendapat bekalan air minuman sewajarnya sepanjang tempoh kemarau.
“Boleh dibayangkan berapa banyak tenaga yang diperlukan untuk mengangkat kotak-kotak air minuman ini.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan strategik kita… dalam memastikan yang memerlukan air minuman ini mendapat air minuman yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) dan Agensi 2025 di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.
Berdasarkan laporan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri setakat jam 6 petang 17 September, penghantaran bekalan air masih dilaksanakan di 68 lokasi, melibatkan 1,494 keluarga dan 6,624 mangsa.
Antara kawasan yang menerima penghantaran pada hari berkenaan ialah Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Kapit, Mukah dan Bintulu, melibatkan kampung, rumah panjang serta sebuah klinik.
Dato Sri Fatimah berkata operasi bantuan berkenaan turut diperkukuh menerusi kerjasama rakan strategik termasuk Rumah Panjang Volunteers, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Dalam perkembangan berkaitan agenda kementerian, beliau berkata pemerkasaan wanita Sarawak terus diberi tumpuan menerusi aspek ekonomi, keselamatan, kepimpinan dan kesejahteraan.
Dari aspek ekonomi, katanya, Sarawak menyasarkan 60 peratus penyertaan wanita dalam tenaga kerja, selain meningkatkan jumlah usahawan wanita berdaftar serta penyertaan wanita dalam sektor profesional dan teknikal.
Dalam aspek kepimpinan pula, jelas beliau, sasaran ditetapkan untuk meningkatkan kepada 30 peratus penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan, khususnya dalam sektor yang masih ketinggalan dari segi penyertaan wanita.
Usaha tersebut turut memberi tumpuan kepada pengurangan jurang gender serta pengukuhan kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara menyeluruh, tambah beliau.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Semawi Mohamad; Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi, Timbalan Pengarah Persekutuan, JKMS, Mohd Ali Taib, Setiausaha Eksekutif, Majlis Pembangunan Sosial, KPWK, Rizjandy Nawawi; serta Pengurus Besar SeDidik Sdn Bhd, Ayub Dahari.-EDISI UKAS