Manual Penggubalan Undang-Undang Sarawak Cerminkan Pendekatan ‘Rethink’
KUCHING: Inisiatif Jabatan Peguam Besar Sarawak (SAGC) menerbitkan ‘Sarawak Legislative Drafting Manual’ merupakan contoh jelas usaha menilai semula dan menambah baik proses kerja selaras dengan perubahan keperluan semasa.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, usaha berkenaan bertepatan dengan elemen ‘Rethink’ dalam pendekatan 3R yang menekankan kepentingan menilai semula kaedah serta proses sedia ada dalam perkhidmatan awam.
Beliau berkata penjawat awam Sarawak perlu sentiasa melihat semula proses kerja bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terus relevan dan mampu memenuhi tuntutan semasa.
“Ini merupakan satu lagi perubahan, satu lagi proses dan satu lagi usaha untuk ‘menilai semula’ oleh SAGC, tahniah saya ucapka ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penghargaan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak 2026 (APC) di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut merakamkan penghargaan kepada SAGC serta pegawai yang terlibat dalam menghasilkan manual tersebut, sambil mengakui usaha berkenaan memerlukan komitmen dan kerja keras.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada SAGC dan semua pihak yang terlibat.
“Saya tahu anda semua telah bekerja keras untuk merealisasikan perkara ini,” katanya lagi.
Menurut beliau, manual berkenaan bukan sahaja boleh dijadikan panduan dalaman SAGC, malah berperanan sebagai bahan rujukan kepada agensi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) yang terlibat sebagai pemegang taruh dalam proses penggubalan undang-undang.
Beliau berkata manual itu turut menyediakan panduan lebih terperinci berhubung proses dan tatacara penggubalan undang-undang di Sarawak, termasuk membantu kementerian, jabatan dan agensi menyediakan arahan penggubalan yang lebih jelas serta tersusun sebelum dikemukakan kepada SAGC.
Beliau berharap penerbitan manual itu dapat mewujudkan kefahaman yang lebih seragam dalam kalangan pegawai dan agensi SCS mengenai amalan serta standard penggubalan undang-undang.
Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut mengingatkan warga perkhidmatan awam supaya menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri ketika melaksanakan tanggungjawab.
Katanya, penjagaan pemakanan, kekal aktif, bersenam serta mengurus tekanan dengan baik penting bagi memastikan keseimbangan dalam melaksanakan tugas.
Sementara itu, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, berkata manual berkenaan dibangunkan sebagai panduan praktikal kepada pegawai perkhidmatan awam yang terlibat dalam penyediaan serta penggubalan undang-undang negeri.
Menurut beliau, manual tersebut turut bertujuan membantu kementerian, jabatan dan agensi memahami keperluan penggubalan undang-undang, termasuk kaedah membentuk cadangan sebelum dikemukakan kepada SAGC. -EDISI UKAS