Pesta Tanglung Perkukuh Hubungan Kekeluargaan, Warisan Keluarga Lee
MIRI: Penganjuran Pesta Tanglung 2026 Persatuan Lee Clan Miri terus menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan selain memelihara sejarah dan warisan keluarga Lee untuk diwarisi generasi muda.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penganjuran aktiviti bersama secara berkala adalah penting bagi merapatkan hubungan antara anggota keluarga Lee, termasuk melibatkan golongan muda, keluarga muda dan kanak-kanak.
Beliau berkata, penglibatan generasi baharu dalam aktiviti persatuan bukan sahaja mewujudkan ruang untuk mereka mengenali anggota keluarga yang lain, malah membantu membina rasa kebersamaan dalam kalangan keluarga Lee.
“Aktiviti seperti ini memberi peluang kepada golongan muda, keluarga muda dan kanak-kanak untuk turut serta, mengenali anggota keluarga Lee yang lain dan membina rasa kebersamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam sempena Sambutan Pesta Tanglung 2026 Persatuan Lee Clan Miri, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, hubungan kekeluargaan juga boleh diperluas menerusi lebih banyak pertukaran dan interaksi antara anggota keluarga Lee di Miri dengan komuniti keluarga Lee di bahagian lain di Sarawak, seluruh Malaysia dan luar negara.
Pada masa sama, Dato Sri Lee menekankan kepentingan mendokumentasikan sejarah asal-usul nenek moyang, tanghao, salasilah keluarga, gambar lama serta kisah lisan generasi terdahulu supaya khazanah tersebut tidak terputus daripada pengetahuan generasi akan datang.
Katanya, pemeliharaan sejarah keluarga bukan sekadar merekodkan asal-usul keturunan, tetapi turut membantu generasi muda memahami perjalanan dan sumbangan generasi terdahulu dalam membina kehidupan di Sarawak.
Beliau turut menyambut baik usaha Persatuan Lee Clan Miri dalam memelihara bahan sejarah keluarga, termasuk salasilah dan dokumentasi lama, sebagai sebahagian daripada warisan yang boleh diwariskan kepada generasi seterusnya.
Sambutan Pesta Tanglung berkenaan turut menghimpunkan anggota keluarga Lee daripada pelbagai peringkat umur, sekali gus menyediakan ruang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan menerusi aktiviti bersama.
Dato Sri Lee berharap Persatuan Lee Clan Miri terus memainkan peranan dalam memperkukuh hubungan sesama anggota keluarga serta memastikan warisan sejarah dan persaudaraan terus dipelihara dari satu generasi kepada generasi berikutnya.-EDISI UKAS