SK Holy Name Persiap Murid Hadapi Era Teknologi Menerusi Inovasi, Robotik & AI
LUNDU: Sekolah Kebangsaan (SK) Holy Name memperluas pendedahan murid kepada inovasi, robotik dan kecerdasan buatan (AI) sebagai persediaan awal menghadapi keperluan teknologi masa depan.
Usaha itu bakal diperkukuh menerusi sasaran sekolah untuk bergerak ke arah konsep ‘School of Technology’ pada 2027, termasuk menghasilkan sekurang-kurangnya lima produk berasaskan teknologi.
Guru Besar SK Holy Name, Albert Bujon berkata, antara idea inovasi yang sedang diteroka ialah pembangunan alat pengukur Indeks Pencemaran Udara (IPU), selain penyertaan murid dalam pertandingan robotik dan AI.
Katanya, pendedahan tersebut memberi peluang kepada murid mengembangkan kemahiran teknologi, kreativiti dan inovasi sejak di bangku sekolah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menyambut baik usaha pihak sekolah memperluas penglibatan murid dalam bidang teknologi berkenaan.
Menurutnya, pendedahan kepada inovasi, robotik dan AI penting bagi membolehkan generasi muda memperoleh pengalaman serta pengetahuan yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan sumbangan RM10,000 melalui Akaun Bawah Kawalan bagi membantu pihak sekolah menyertai pertandingan robotik dan AI yang dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, sambutan Bulan Kebangsaan di SK Holy Name turut menjadi platform menyemai semangat patriotisme, perpaduan serta kecintaan kepada negara dalam kalangan murid menerusi pelbagai aktiviti yang dilaksanakan dari 18 Ogos hingga 16 September 2026.
Billy berkata, program sedemikian penting dalam memberi kefahaman kepada murid mengenai perjuangan kemerdekaan serta kepentingan memelihara perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek. -EDISI UKAS