Sarawak Catat Skor 9.57 Indeks Kesejahteraan Keluarga 2025
KUCHING: Sarawak mencatat skor 9.57 bagi Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) 2025, meningkat daripada 7.09 pada 2016 dan 7.78 pada 2019, sekali gus berada pada tahap tinggi berdasarkan skala penilaian indeks berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata IKK yang dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menilai kesejahteraan keluarga berdasarkan lapan domain utama.
Beliau berkata, domain tersebut merangkumi hubungan kekeluargaan, ekonomi keluarga, kesihatan, keselamatan, keterlibatan komuniti, agama, kepercayaan dan amalan kerohanian, perumahan dan persekitaran serta keluarga dan teknologi komunikasi.
“Pada tahun 2016, Sarawak mencatat skor 7.09, kemudian meningkat kepada 7.78 pada tahun 2019, naik lagi pada tahun 2022 tetapi kalah oleh indeks kesejahteraan kebangsaan, dan pada tahun 2025 skor Sarawak untuk indeks kesejahteraan keluarga ini adalah 9.57, tertinggi sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) dan Agensi 2025 di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Fatimah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan menunjukkan peningkatan paling ketara dalam IKK pada 2025.
Beliau berkata pencapaian tersebut mencerminkan hasil usaha berterusan dalam memperkukuh kesejahteraan keluarga dan masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh agensi serta unit di bawah kementeriannya.
Katanya, usaha berkenaan turut menyumbang kepada ukuran kesejahteraan sosial, termasuk Indeks Kesejahteraan Sosial dan indeks kebahagiaan.
Beliau berkata pencapaian IKK itu perlu terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program dan intervensi yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan keluarga serta masyarakat secara menyeluruh.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Semawi Mohamad; Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi, Timbalan Pengarah Persekutuan, JKMS, Mohd Ali Taib, Setiausaha Eksekutif, Majlis Pembangunan Sosial, KPWK, Rizjandy Nawawi; serta Pengurus Besar SeDidik Sdn Bhd, Ayub Dahari.-EDISI UKAS