Program Santuni Rakyat Zon 2 Bokah Perkukuh Kebajikan, Kebersamaan Komuniti
LUNDU: Program Santuni Rakyat Komuniti Zon 2 Bokah menjadi wadah memperkukuh kebajikan serta semangat kebersamaan masyarakat menerusi penyaluran peruntukan dan bantuan secara langsung kepada komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, program kemasyarakatan seumpama itu bukan sahaja mendekatkan pemimpin dengan rakyat, malah mampu memupuk semangat keprihatinan, kerjasama dan tanggungjawab sosial dalam kalangan penduduk.
Menurutnya, keharmonian dan semangat kebersamaan perlu terus dipelihara kerana menjadi antara asas penting dalam mewujudkan komuniti yang sejahtera.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan sesebuah kawasan tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan, pendidikan serta pengukuhan nilai kemasyarakatan.
Sehubungan itu, generasi muda digalakkan untuk terus memberi perhatian kepada pendidikan serta meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran baharu supaya mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Pada program yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Raso 1 pada Jumaat malam itu, Billy turut menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM35,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Raso 1.
Biro Wanita Kampung Raso 2 pula menerima peruntukan sebanyak RM5,000, manakala 40 bakul makanan disampaikan kepada penerima bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dalam komuniti Zon 2 Bokah.
Billy turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, ketua masyarakat dan sukarelawan atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Pemanca Allen Manium Enggang dan Pengerusi Komuniti Zon 2 Bokah, Kaunselor Jonit Johit. -EDISI UKAS