Persatuan Teochew Engkilili Diseru Terus Perkukuh Perpaduan Masyarakat
ENGKILILI: Persatuan Teochew Engkilili diseru terus memainkan peranan sebagai wadah memperkukuh perpaduan, keharmonian dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, kekuatan sesebuah persatuan bukan hanya terletak pada struktur organisasinya, malah bergantung kepada semangat ahli untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
Menurutnya, kepelbagaian masyarakat di Engkilili merupakan satu kekuatan yang perlu terus dipelihara menerusi semangat saling menghormati dan bekerjasama selaras dengan semangat Segulai Sejalai.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-65 Persatuan Teochew Engkilili dan angkat sumpah Ahli Jawatankuasa 2026-2027 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu pada Jumaat.
Pada majlis itu, Roy Angau turut menyampaikan sumbangan keseluruhan RM30,000, masing-masing RM20,000 kepada Persatuan Teochew Engkilili dan RM10,000 kepada Pemuda Teochew bagi menyokong pelaksanaan aktiviti mereka.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai golongan muda terlibat secara aktif dalam aktiviti kebudayaan, kemasyarakatan dan kepimpinan bagi memastikan kesinambungan persatuan pada masa hadapan.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kua Juck Seng, Pengerusi Persatuan Teochew Engkilili, Kapitan Mary Sim Kheng Ling, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tay Liang Yi, Pengerusi Kehormat Seumur Hidup, Kua Siok Yong, Penasihat Kehormat, Temenggong Kuek Aik Seng, ketua-ketua masyarakat Cina Engkilili serta wakil persatuan Teochew dari Kuching, Tatau, Sibu, Sri Aman, Bintulu, Mukah dan Miri serta Persatuan Hakka Engkilili. -EDISI UKAS