SEZ Pacu Transformasi Ekonomi Sibu Ke Arah Sektor Bernilai Tinggi
SIBU: Penubuhan Zon Ekonomi Sibu (SEZ) dengan peruntukan awal RM1.5 bilion dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi Sibu ke arah sektor bernilai tinggi, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, SEZ yang telah dipersetujui secara prinsip oleh kerajaan negeri akan menyediakan platform khusus bagi menyelaras pembangunan ekonomi Sibu.
Menurutnya, pembangunan SEZ akan memberi tumpuan kepada pelaburan, sektor perkhidmatan dan pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Kerajaan Sarawak telah bersetuju secara prinsip untuk menubuhkan SEZ sebagai platform khusus bagi menyelaras pembangunan ekonomi Sibu.
“Pembangunan SEZ akan memberi penekanan kepada pelaburan, sektor perkhidmatan dan pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak (ACCCIS) di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.
Tegas Datuk Amar Profesor Dr Sim, transformasi ekonomi Sibu perlu disokong dengan peningkatan kesalinghubungan serta kapasiti perindustrian, termasuk menerusi cadangan Jambatan Tebing Barat dan Taman Perindustrian Sibu yang dijadualkan siap pada 2029.
“Cadangan pembangunan semula Bukit Assek yang telah mendapat kelulusan secara prinsip turut menjadi antara inisiatif jangka panjang dalam usaha membawa Sibu ke arah ekonomi yang lebih mampan dan bernilai tinggi,” ujarnya.
Tambah beliau, Sarawak kini berada dalam fasa penting transformasi ekonomi dan perlu meneroka sektor baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, penjagaan kesihatan, pendigitalan serta teknologi.
Sehubungan itu, Datuk Amar Profesor Dr Sim menggesa komuniti perniagaan meningkatkan pelaburan, inovasi dan meneroka peluang baharu, dengan kerajaan terus menyediakan dasar, infrastruktur serta platform bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.-EDISI UKAS