Sistem Bilik Darjah Induk Perluas Akses Guru Pakar Di Sarawak
SIBU: Pelaksanaan sistem bilik darjah induk dilihat sebagai langkah alternatif berkesan bagi memperluas akses khidmat guru pakar khususnya dalam subjek Sains dan Matematik kepada pelajar di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, berkata, menerusi sistem berkenaan, seorang guru yang berkelayakan di sebuah sekolah boleh mengajar dan berinteraksi dengan pelajar dari beberapa sekolah lain secara serentak menggunakan platform digital.
“Sebagai contoh, jika 10 buah sekolah kekurangan guru pakar Matematik, seorang guru yang berkelayakan di sebuah sekolah boleh mengajar dan berinteraksi dengan pelajar di beberapa buah sekolah lain di Sarawak secara serentak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘The Commemoration of Sibu Digital Innovation Hub Expansion’ di Sibu Digital Innovation Hub (SDIH), di sini, pada Jumaat.
Datuk Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, beliau telah meminta Universiti Teknologi Sarawak (UTS) mengkaji usaha berkenaan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Menurut beliau, usaha itu penting bagi memastikan kesaksamaan pendidikan agar setiap pelajar di seluruh Sarawak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti yang sama.
Dalam pada itu, beliau berkata, SDIH yang dirasmikan pada 2022 terus berkembang sebagai antara hab inovasi yang aktif dan berjaya di Sarawak.
Katanya, kejayaan menganjurkan lebih 150 aktiviti serta membimbing antara 30 hingga 40 usahawan membuktikan kepentingan dan impak positif kewujudan pusat berkenaan kepada komuniti setempat. -EDISI UKAS