SJK(C) Su Tak Terima Geran Khas RM10,000 Bagi Sokong Aktiviti Pendidikan 2027
MERADONG: SJK(C) Su Tak menerima Geran Khas sebanyak RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan sekolah pada tahun 2027.
Sumbangan tersebut diumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, ketika menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh (Mid-Autumn) dan Hari Kanak-Kanak anjuran SJK(C) Su Tak di Dewan SJK(C) Su Tak, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya semasa berucap, sumbangan berkenaan mengiktiraf usaha pihak SJK(C) Su Tak dalam bidang pendidikan serta pembangunan sekolah.
“Saya berharap sumbangan tersebut dapat memberi manfaat kepada pihak sekolah dan para pelajar serta membantu memperkukuhkan lagi pelaksanaan aktiviti pendidikan dan pembangunan sekolah,” katanya.
Datuk Ding turut menyatakan komitmen untuk terus memberi perhatian kepada perkembangan sekolah dan memberikan sokongan mengikut kemampuan, khususnya dalam aspek pendidikan prasekolah serta pembangunan dan kemudahan sekolah.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa pendidikan anak-anak merupakan tanggungjawab bersama pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat dan semua pihak berkaitan
Ujarnya, kerjasama erat antara semua pihak amat penting dalam mewujudkan persekitaran yang selesa, selamat dan kondusif untuk anak-anak belajar serta membesar. –EDISI UKAS