GKCDA Peruntuk RM6 Juta Laksana Projek Jalan Pertanian Di 20 Kampung DUN Balai Ringin
BALAI RINGIN: Sebanyak RM6 juta diperuntukkan oleh Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi melaksanakan 20 projek jalan pertanian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin dalam usaha meningkatkan produktiviti pertanian dan taraf hidup penduduk.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan berkata, projek berkenaan melibatkan 10 kampung di Zon B Jalan Simunjan dan 10 kampung di Zon C Balai Ringin.
Menurutnya, sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada setiap kampung bagi pembinaan jalan pertanian, dengan 16 projek telah siap, dua hampir siap, satu baru dimulakan dan satu lagi belum bermula.
“Dengan terlaksananya projek berkenaan, penduduk di dua zon terbabit dapat meningkatkan produktiviti pertanian masing-masing, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Projek Siap GKCDA DUN Balai Ringin: Menaik Taraf Jalan Kampung Tapang Lebat di Balai Raya Kampung Tapang Lebat, Balai Ringin, pada Sabtu.
Sementara itu, Datuk Snowdan berkata, sebanyak RM3.25 juta diperuntukkan bagi melaksanakan lima projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan GKCDA di Kampung Tapang Lebat bagi tempoh 2020 hingga 2027.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan baharu balai raya bernilai RM250,000 pada 2020, menaik taraf balai raya (RM120,000) pada 2022, menaik taraf jalan kampung (RM2.5 juta) dan pembinaan jalan pertanian (RM300,000) menerusi GKCDA pada 2025.
Selain itu, pembinaan baharu stor balai raya bernilai RM80,000 dijadualkan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tapang Lebat serta RM5,000 kepada biro wanita JKKK berkenaan.
Turut berlangsung penyerahan cek Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah keseluruhan RM585,000 kepada empat gereja serta cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada dua persatuan.
Terdahulu, kira-kira 150 penduduk daripada 30 keluarga di Kampung Tapang Lebat di bawah pimpinan Tuai Rumah Bana Entili kini menikmati kemudahan jalan kampung sepanjang 1.925 kilometer yang siap dinaik taraf pada 9 Jun lalu dengan kos RM2.5 juta menerusi peruntukan GKCDA.
Turut hadir, Pegawai Daerah Serian, Inting Nyami, wakil Pegawai Tadbir Khas GKCDA, John Ateng Pawang, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin, Mohammad Adam Muslim, wakil Residen Bahagian Serian, Johnboy Riyah, Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya Bahagian Serian, Nelson Albert Bantang, wakil-wakil jabatan dan Tuai Rumah.-EDISI UKAS