Lapan Warga SAGC Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
KUCHING: Seramai lapan pegawai dan kakitangan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAGC) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai penghargaan terhadap prestasi dan komitmen mereka sepanjang tahun 2025.
Pengiktirafan itu disampaikan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi 2026 Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak yang berlangsung di sini, pada Jumaat.
Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali berkata, anugerah berkenaan mencerminkan penghargaan jabatan terhadap warga kerjanya yang menunjukkan prestasi dan dedikasi tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab.
Beliau berharap pengiktirafan tersebut dapat menyuntik semangat kepada seluruh warga jabatan untuk terus mengekalkan budaya kecemerlangan, profesionalisme dan integriti dalam menjalankan tugas.
Menurut beliau, aspek pembangunan kapasiti warga kerja turut terus diberi perhatian bagi memastikan pegawai mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Katanya, antara usaha yang dilaksanakan termasuk memberi sokongan kepada pegawai yang ingin melanjutkan pengajian sebagai langkah memperkukuh kepakaran serta meningkatkan keupayaan warga jabatan.
Majlis bertemakan The Great Gatsby itu turut menjadi platform bagi memperkenalkan Sarawak Legislative Drafting Manual yang dibangunkan sebagai panduan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) yang terlibat dalam penyediaan dan penggubalan undang-undang Negeri.
Manual berkenaan menyediakan panduan yang lebih konsisten dan tersusun dalam proses penggubalan perundangan, sekali gus membantu menghasilkan draf undang-undang yang lebih lengkap, jelas dan teratur.
Selain itu, ia turut bertujuan meningkatkan kualiti, ketepatan serta keseragaman dalam penyediaan perundangan Negeri. -EDISI UKAS