Setiap Kelahiran Adalah Harapan, Masa Depan Sarawak
KUCHING: Setiap kelahiran baharu perlu dilihat sebagai satu harapan dan masa depan Sarawak, khususnya dalam usaha negeri itu menuju status negeri maju.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, anak yang dilahirkan bukan sahaja membawa makna kepada ibu bapa dan keluarga, malah bakal menjadi tenaga kerja, usahawan, golongan profesional serta pemimpin yang akan menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
“Setiap kelahiran itu adalah satu harapan. Setiap kelahiran sangat berharga, terutama bagi kita sebagai sebuah negeri yang sedang menuju ke arah status negeri maju.
“Setiap anak itu sebenarnya adalah masa depan negeri kita. Bukan sahaja masa depan untuk anak itu sendiri dan ahli keluarga, tetapi juga masa depan Sarawak yang kita cintai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada My Little Moments Community Care Programme, di sini pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Fatimah, kerajaan memahami bahawa pasangan muda turut mengambil kira faktor kewangan dan kestabilan kehidupan ketika merancang untuk membina keluarga.
Katanya, kehadiran anak membawa perubahan dari segi rutin harian selain menuntut pengorbanan dan tanggungjawab yang lebih besar daripada ibu bapa.
“Kalau kita tanya pasangan yang baru berkahwin berapa orang anak yang mereka mahukan, kadang-kadang kita terkejut kerana mereka mahu menunggu dahulu sehingga keadaan kewangan lebih stabil.
“Ini antara perkara yang difikirkan oleh pasangan muda, terutama dari segi kesediaan dan impak kewangan mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dato Sri Fatimah menyifatkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyediakan sokongan kepada keluarga, khususnya ibu bapa dan anak kecil, sebagai pelengkap kepada usaha kerajaan.
Beliau berkata, sokongan sedemikian penting bagi membantu keluarga yang baru menerima ahli baharu, selain mengurangkan sebahagian beban yang perlu ditanggung ibu bapa.
“Sistem sokongan yang dibawa oleh mereka yang mempunyai hati yang baik ini sangat dialu-alukan oleh kerajaan kerana ia melengkapkan apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan adanya support system, terutama kepada keluarga yang mempunyai ahli baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap inisiatif CSR seumpama itu dapat diperluaskan ke kawasan luar bandar bagi memastikan pasangan muda di kawasan berkenaan turut mendapat manfaat.
Katanya, walaupun pelaksanaan program di luar bandar melibatkan cabaran dari segi pengangkutan dan kos tambahan, usaha berkenaan tidak seharusnya dihentikan.
“Saya sedikit cemburu melihat rakyat kita yang tinggal di bandar kerana apabila ada program seperti ini, CSR yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat, mereka yang di bandar dapat manfaat.
“Saya harap satu hari nanti penaja akan turut memikirkan CSR seperti ini yang dapat memberi manfaat kepada rakyat dan pasangan muda kita di luar bandar,” katanya lagi.
Hadir sama, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman. -EDISI UKAS