RM54,000 MRP Disalur Kepada 15 Organisasi Di Pujut
MIRI: Sebanyak RM54,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada 15 persatuan dan organisasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut bagi memperkukuh pelaksanaan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, peruntukan berkenaan meliputi sokongan kepada pelbagai bidang termasuk pendidikan, kebajikan, kesihatan, kemasyarakatan, kebudayaan dan keagamaan.
Beliau berkata, kepelbagaian penerima mencerminkan keperluan sokongan terhadap pelbagai kelompok masyarakat serta aktiviti yang dilaksanakan di peringkat akar umbi.
“Program ini terbuka kepada pengundi di N.74 Pujut yang memenuhi syarat ditetapkan, termasuk dari segi pendapatan isi rumah, pemilikan rumah dan tanah serta dokumen sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian peruntukan tersebut di Pusat Khidmat Masyarakat Pujut, di sini, pada Sabtu.
Antara penerima ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan South, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sunflower Miri, Persatuan Pengamal Pergigian Miri, Jabatan Otorinolaringologi Hospital Miri, Ketua Masyarakat Kaum Iban Daerah Miri serta pertubuhan dalam bidang kebajikan, kebudayaan, keagamaan dan kemasyarakatan.
Dalam pada itu, sebanyak 337 rumah di DUN Pujut telah menerima manfaat Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) bagi tempoh 2022 hingga April 2026, termasuk 55 rumah sehingga April tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, sembilan rumah terletak di Krokop, 18 di Piasau dan 28 di Pujut.
Menurut Adam, PPRMS memberi tumpuan kepada pembaikan asas kediaman keluarga berpendapatan rendah, termasuk masalah kebocoran bumbung, saliran dan kerosakan kecil bagi memastikan kediaman lebih selesa dan selamat.
Katanya, bantuan itu bukan bertujuan membiayai pengubahsuaian rumah berskala besar, sebaliknya memberi keutamaan kepada keperluan asas keluarga yang memenuhi syarat ditetapkan.
Penyaluran MRP dan pelaksanaan PPRMS di Pujut mencerminkan tumpuan terhadap keperluan masyarakat di peringkat akar umbi, merangkumi sokongan kepada organisasi komuniti serta penambahbaikan keperluan asas kediaman golongan berpendapatan rendah.-EDISI UKAS