Usahawan Wanita Dayak Digalak Perluas Pasaran Produk Warisan
KUCHING: Usahawan wanita Dayak digalak menggabungkan warisan dan identiti budaya tempatan dengan teknologi serta pemasaran moden bagi memperluas pasaran produk ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, gabungan elemen tradisi dengan pengurusan perniagaan yang baik serta penekanan terhadap kualiti mampu meningkatkan daya saing produk keluaran usahawan wanita Dayak.
“Apabila produk tradisi yang kaya dengan identiti tempatan digabungkan dengan pengurusan korporat yang baik serta kualiti yang tinggi. Saya yakin produk wanita Dayak mampu menembusi pasaran kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian PERANTIS-PENDAYA 2.0: Memperkasa Usahawan Wanita Dayak untuk Kepimpinan, Skala dan Kelestarian di Dayak Chamber Tower, di sini, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Nancy, program berkenaan disesuaikan dengan keperluan usahawan wanita Dayak di Sarawak dengan mengambil kira kekuatan budaya, persekitaran dan potensi tempatan, selain menyediakan latihan praktikal serta bimbingan mentor.
Peserta turut dibimbing menyediakan Pelan Tindakan 90 Hari bagi menetapkan sasaran dan melaksanakan tindakan susulan dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.
Beliau berkata, sejak 2024, Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) telah membimbing 1,247 peserta menerusi 25 tokoh wanita dalam 10 bidang, termasuk kepimpinan, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, pendidikan dan kesihatan.
Program itu diperluaskan pada 2025 dengan peruntukan RM5 juta, melibatkan 100 tokoh wanita serta lebih 4,000 peserta, manakala RM4 juta diperuntukkan tahun ini bagi meneruskan pembangunan kepimpinan wanita.
Beliau berharap peserta PERANTIS-PENDAYA 2.0 dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh untuk membangunkan perniagaan, seterusnya tampil sebagai pemimpin yang membawa manfaat kepada keluarga, komuniti dan masyarakat.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Rangkaian Pemerkasaan dan Kelestarian Wanita (WESNA) Kuching, Dr Carolina Sandra Giang.- EDISI UKAS