KPWKM Cadang Pertambahan Bajet, Fokus Kumpulan Sasar Dan Fertiliti
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan pertambahan peruntukan bagi tahun depan bagi menampung keperluan kumpulan sasar serta memperluas usaha meningkatkan kadar kesuburan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, cadangan bajet kementerian memberi tumpuan kepada kesaksamaan ekonomi, wanita, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan penerima bantuan kebajikan.
Menurut beliau, bajet kementerian dijangka meningkat berikutan pertambahan jumlah penerima kebajikan, selain mengambil kira keperluan pelaksanaan program, pembinaan dan kerja-kerja penyelenggaraan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian PERANTIS-PENDAYA 2.0: Memperkasa Usahawan Wanita Dayak untuk Kepimpinan, Skala dan Kelestarian di Dayak Chamber Tower, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy berkata kementerian turut mencadangkan program berkaitan fertiliti di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi membantu meningkatkan kadar kesuburan atau Total Fertility Rate (TFR) negara.
Katanya, Sarawak dan Pulau Pinang antara negeri yang perlu diberi perhatian dalam usaha meningkatkan kadar kelahiran, termasuk menerusi program yang membantu pasangan berdepan masalah mendapatkan zuriat.
“Ya, memang ada dalam program di bawah LPPKN kita. Itu bajetnya dimasukkan di bawah LPPKN dan memang ada beberapa program yang kita nak jalankan. Sebenarnya, kita sudah melaksanakannya, cuma kita mahu memberi tumpuan untuk tahun depan supaya kita dapat menggalakkan lebih ramai lagi, terutamanya dalam kalangan orang muda,” katanya.
Menurutnya, usaha tersebut turut mengambil kira faktor ekonomi yang dihadapi pasangan muda, manakala aspek berkenaan akan turut ditangani kerajaan melalui kementerian berkaitan.
Beliau berkata, kajian berkaitan kadar fertiliti juga telah dijalankan bagi mengenal pasti faktor yang mempengaruhi kadar kelahiran, namun hasil kajian berkenaan akan dikongsikan pada masa yang sesuai.
Dalam pada itu, beliau berkata cadangan peruntukan yang dikemukakan kementerian masih tertakluk kepada kelulusan, dengan jumlah akhir bergantung kepada keputusan kerajaan.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Rangkaian Pemerkasaan dan Kelestarian Wanita (WESNA) Kuching, Dr Carolina Sandra Giang - EDISI UKAS