Laporan Awal Nahas Helikopter Long Lellang Dalam Tempoh 30 Hari
LONG LAMA: Laporan awal siasatan nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram akan dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dalam tempoh 30 hari dari tarikh kemalangan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penyediaan laporan berkenaan adalah selaras dengan ketetapan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Menurut beliau, pasukan penyiasat BSKU kini menjalankan siasatan di lokasi kejadian dengan memberi tumpuan kepada pemeriksaan lokasi nahas dan bangkai pesawat, selain pengumpulan serta pemeliharaan bahan bukti.
Siasatan turut meliputi penelitian terhadap rekod operasi dan penyelenggaraan, maklumat kru, keadaan cuaca serta bukti lain yang berkaitan bagi membantu melengkapkan siasatan.
“Punca dan faktor penyumbang kepada kemalangan itu masih belum ditentukan dan BSKU tidak akan membuat sebarang kesimpulan sebelum semua bukti diteliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan di sini, pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Hasbi berkata, siasatan turut mendapat kerjasama dan sokongan teknikal daripada pengeluar pesawat di Jerman serta pengeluar enjin di Amerika Syarikat.
Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada usaha BSKU mendapatkan maklumat dan input teknikal berkaitan pesawat serta enjin bagi membantu proses siasatan.-EDISI UKAS