Persiapan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Betong Diperkemas
BETONG: Persiapan bagi pelaksanaan Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Tengah) Bahagian Betong terus diperkemas menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bahagian Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Tengah) Bahagian Betong Bilangan 2 Tahun 2026 di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong, pada Sabtu.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Tengah), Datu Hii Chang Kee.
Mesyuarat membincangkan status terkini pelbagai aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang Program Sarawakku Sayang 2026 di Bahagian Betong yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 September ini.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk isu-isu berbangkit serta langkah penyelarasan yang perlu diambil bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program.
Mesyuarat turut bersetuju supaya program diteruskan seperti dirancang, melainkan berlaku situasi serius yang memerlukan perubahan keputusan termasuk keadaan darurat.
Selain itu, perubahan jadual program dan aktiviti turut dibincangkan bagi memastikan semua pihak berkepentingan dimaklumkan serta penyelarasan semula jadual dapat dibuat mengikut perubahan yang ditetapkan.
Terdahulu, Datuk Dr Mohammad Razi dan Datu Hii mengadakan lawatan awal ke tapak Program Sarawakku Sayang 2026 di Kompleks Sukan Betong.
Lawatan tersebut bertujuan memantau persiapan tapak bagi aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang program bagi memastikan segala persediaan berada pada tahap sewajarnya serta berjalan lancar apabila program berlangsung.
Turut hadir Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas serta ketua-ketua jabatan dan agensi berkaitan. -EDISI UKAS