Program Sarawakku Sayang 2026 Betong Sasar Kehadiran 115,000 Pengunjung
BETONG: Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Tengah) Bahagian Betong yang bakal berlangsung dari 25 hingga 27 September ini menyasarkan kehadiran sehingga 115,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, majlis perasmian program yang dijadualkan pada 26 September itu dijangka dihadiri sekitar 7,000 rakyat, selain penglibatan 48 agensi yang menawarkan sebanyak 158 jenis perkhidmatan kepada masyarakat.
“Pihak penganjur berharap program tersebut dapat mencatat rekod kehadiran baharu memandangkan jaringan jalan raya yang semakin baik kini memudahkan masyarakat dari pelbagai kawasan untuk berkunjung ke Betong.
“Masyarakat dari Sri Aman, Sibu, kawasan pedalaman serta daerah-daerah lain dijangka mengambil peluang untuk menghadiri program berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Tengah) Bahagian Betong di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk agensi terlibat agar mempergiat usaha publisiti bagi memastikan maklumat mengenai program tersebut sampai kepada masyarakat.
Menurutnya, program ini merupakan satu acara yang besar dan penting di mana rakyat mesti mengetahui serta mengambil peluang untuk hadir dari 25 hingga 27 September ini.
Tambah Datuk Amar Douglas lagi, program berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti dan tarikan termasuk cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah kereta Perodua Bezza 1.3X.
“Selain hadiah utama, terdapat tujuh lagi hadiah menarik termasuk dua buah motosikal, pakej percutian ke Kuala Lumpur, gajet termasuk telefon pintar, peralatan sukan serta pelbagai peralatan elektrik dan rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Tengah) Datu Hii Chang Kee berkata, program turut dimeriahkan dengan Malam Budaya Sarawak pada 25 September yang menampilkan persembahan artis tempatan seperti Mawat, Lucy M dan banyak lagi, manakala Konsert Rakyat pada 26 September akan menampilkan Baby Shima, Bob Yusof dan ramai lagi artis-artis lain.
Selain itu katanya, pada pagi 27 September pula, ‘fun run’ sejauh lima kilometer akan diadakan di mana sambutan terhadap acara ini amat menggalakkan dengan penyertaan yang sudah mencecah seramai 1000 orang peserta dan diharap lebih ramai penyertaan.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Tengah) Bahagian Betong bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan, menyertai aktiviti yang disediakan serta memeriahkan sambutan sepanjang tiga hari program berlangsung. -EDISI UKAS