Belia Lingga Digalak Aktif Gerakkan Kegiatan Komuniti
LINGGA: Golongan belia dan pemuda di Lingga digalak memperluas penglibatan dalam kegiatan sosial, kebudayaan dan kemasyarakatan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, golongan muda merupakan kelompok penting dalam membentuk kekuatan sesebuah komuniti dan perlu diberi ruang untuk menggunakan bakat, kreativiti serta tenaga mereka secara positif.
Menurut beliau, penglibatan belia dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan turut membuka ruang interaksi antara generasi serta membantu memupuk nilai kebersamaan, saling menghormati dan keharmonian dalam masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Belia dan Pemuda N28 Lingga Sempena Sambutan Hari Malaysia 2026, di sini baru-baru ini.
Katanya, program kemasyarakatan sempena Hari Malaysia bukan sahaja menjadi ruang untuk menghayati semangat kebangsaan, malah dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.
Program berkenaan menampilkan pelbagai pengisian berteraskan patriotisme dan seni budaya termasuk pertandingan karaoke lagu patriotik, bertandak duet serta Ratu Cilik bertemakan kebangsaan.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah berkata usaha pembangunan di Lingga turut perlu bergerak seiring dengan pengukuhan komuniti supaya kemajuan fizikal kawasan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih menyeluruh kepada masyarakat.
Beliau turut menyentuh perkembangan pembangunan Waterfront Lingga Fasa 2 dan Pusat Perkhidmatan Lingga yang dilihat sebagai antara usaha memperkukuh kemudahan serta pembangunan kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pemuda dalam ucapannya berkata program berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan dan kesatuan masyarakat, khususnya dalam kalangan belia dan pemuda.
Beliau menyeru golongan muda supaya tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya tampil memainkan peranan aktif dalam kegiatan serta pembangunan masyarakat.
Penghargaan turut diberikan kepada barisan Exco Pemuda Cawangan PBB Sarawak atas sumbangan yang diberikan, selain Pemuda dan Belia Cawangan Lingga serta semua pihak yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.
Penganjuran program itu diharap dapat diperluaskan pada masa akan datang dengan penyertaan masyarakat yang lebih meluas, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk menyumbang kepada komuniti serta memelihara warisan budaya setempat. -EDISI UKAS