Jerebu Berlarutan Jejas Aktiviti Harian, Perniagaan Di Kuching Waterfront
KUCHING: Fenomena jerebu yang berlarutan di Kuching bukan sahaja menjejaskan pemandangan di sekitar Kuching Waterfront, malah turut memberi kesan kepada aktiviti harian masyarakat dan operasi perniagaan.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Kuching Waterfront mendapati keadaan jerebu yang berubah-ubah menyebabkan orang ramai mengehadkan aktiviti luar, selain jumlah pengunjung ke kawasan berkenaan turut berkurangan.
Menurut pekerja sebuah kedai runcit di Kuching Waterfront, June Junaidah, 37, keadaan jerebu sejak hampir sebulan lalu turut memberi kesan kepada jumlah pengunjung dan jualan di premis tempat beliau bekerja.
“Semenjak jerebu melanda sejak sebulan lalu, jualan kami di sini memang agak menurun berbanding bulan sebelumnya. Ada masa keadaan teruk dan ada masa agak baik, tetapi kebanyakannya terjejas apabila bacaan IPU meningkat. Jadi, jualan kami masih belum pulih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui UKAS pada Ahad.
Dalam pada itu, katanya, keadaan tersebut turut menyebabkan aktiviti riadah yang sebelum ini menjadi rutin selepas waktu bekerja terpaksa dihadkan, termasuk aktiviti brisk walk di sekitar Waterfront pada setiap malam berikutan keadaan kualiti udara yang tidak sihat.
Menurut June, beliau turut mengalami masalah kesihatan seperti demam dan batuk berikutan kualiti udara yang semakin merosot.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar, memperbanyakkan minum air serta memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan sehingga keadaan kembali pulih.
Sementara itu, salah seorang pelajar Politeknik Kuching Sarawak, Thomas Wayne Lahang, 20, berkata keadaan jerebu bukan sahaja menjejaskan pemandangan ikonik Kuching Waterfront yang menjadi tumpuan pelancong, tetapi turut memberi cabaran kepada aktiviti hariannya sebagai seorang para pelajar.
“Jerebu memang mengganggu aktiviti harian dan pemandangan. Selalunya orang datang ke Kuching mahu melihat Waterfront dan menikmati pemandangan, tetapi apabila jerebu berlaku, semuanya menjadi kurang jelas,” katanya.
Beliau berkata, keadaan tersebut turut memberi kesan kepada proses pembelajaran apabila kelas teori dilaksanakan secara dalam talian, manakala kelas praktikal masih dijalankan secara bersemuka dengan pemantauan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa.
“Sekiranya IPU semakin teruk, semua kelas mungkin akan dilaksanakan secara dalam talian. Setiap kali turun ke kelas, kami akan periksa IPU terlebih dahulu dan sekiranya keadaan semakin teruk, kami akan maklumkan kepada pensyarah,” ujarnya.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perkembangan kualiti udara menerusi pengumuman rasmi Kerajaan Sarawak serta mengamalkan langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka sekiranya perlu berada di kawasan terbuka. -EDISI UKAS.