LRA Pantu Bakal Dinaik Taraf, Tingkat Akses Air Bersih 1,109 Keluarga
PANTU: Projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pantu bernilai RM102 juta bakal dilaksanakan bagi meningkatkan akses bekalan air bersih terawat kepada 1,109 keluarga di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, projek terbabit akan dilaksanakan di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar Fasa 3 bagi kawasan Bahagian Sri Aman menerusi kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.
“Projek menaik taraf LRA Pantu terbabit akan ditender dan apabila siap dilaksanakan kelak, 1,109 keluarga di kawasan Pantu bakal memperoleh akses yang lebih baik kepada bekalan air bersih terawat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Randau Ruai di Rumah Story Nyaun, Kampung Abok Pulau Batu, di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Datuk Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin berkata, sebanyak RM9.461 juta diperuntukkan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) bagi melaksanakan lima projek pembangunan di kawasan Pantu.
Katanya, peruntukan tersebut merangkumi pembangunan kawasan Wong Jaban sebagai pusat pelancongan bernilai RM4.62 juta dan Wong Beranggong bernilai RM1.3 juta.
Turut diperuntukkan ialah RM1.42 juta bagi pembinaan jalan pertanian di Kampung Limau, RM894,000 untuk jalan pertanian Bukit Kukuk dan RM782,000 bagi jalan pertanian Abok.
“Justeru, saya berharap agar kelima-lima projek ini akan dapat membuka peluang kepada penduduk Pantu untuk menjana ekonomi keluarga apabila ia siap kelak,” ujarnya.
Pada program sama, Datuk Snowdan turut mengumumkan peruntukan RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Batu serta RM5,000 kepada Biro Wanita organisasi terbabit.- EDISI UKAS