STEP Perluas Pendedahan STEM, TVET Kepada Pelajar Pusa
PUSA: Penganjuran ‘STEM & TVET Exploration Programme’ (STEP) membuka ruang kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai persediaan membina laluan pendidikan dan kerjaya masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, pendedahan secara langsung menerusi program berkenaan membolehkan pelajar mengenali serta mencuba bidang berkenaan dengan lebih dekat.
“Pendedahan seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali dan mencuba bidang STEM dan TVET dengan lebih dekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan program berkenaan di SMK Pusa, di sini, pada Ahad.
Menurut Dato Razaili, STEM membina asas pemikiran saintifik, teknologi dan inovasi, manakala TVET melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknikal serta praktikal yang berkaitan dengan dunia pekerjaan dan keusahawanan.
Katanya, pendedahan awal penting bagi membantu pelajar mengenal pasti minat, bakat dan bidang yang sesuai sebelum menentukan pilihan pendidikan serta kerjaya pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha memperluas pendedahan pendidikan memerlukan sokongan berterusan daripada ibu bapa, sekolah, kerajaan, agensi berkaitan dan komuniti.
Beliau turut menggesa ibu bapa memberi ruang kepada anak-anak untuk meneroka bidang baharu serta mencungkil bakat dan potensi masing-masing.
Katanya, peluang pendidikan tinggi yang disediakan kerajaan Sarawak, termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang bermula pada 2026 di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar meningkatkan kemahiran dan memanfaatkan peluang pendidikan yang tersedia sebagai persediaan membina kerjaya masing-masing.
Beliau berharap STEP dapat diteruskan sebagai platform pendedahan yang membantu membuka minda, mencungkil bakat dan membentuk generasi muda yang berkemahiran, inovatif serta berdaya saing.
Dalam majlis sama, Dato Razaili memgumumkan peruntukan RM20,000 kepada SMK Pusa bagi menyokong usaha pembangunan pendidikan di sekolah berkenaan.-EDISI UKAS