Wanita Diseru Bendung Gejala Sosial Dalam Kalangan Anak Muda
BAU: Golongan wanita diseru memainkan peranan lebih besar dalam membendung gejala sosial termasuk penyalahgunaan dadah dan substan serta aktiviti lumba haram dalam kalangan anak muda.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, wanita sebagai tonggak utama institusi keluarga mempunyai pengaruh besar dalam membentuk sahsiah anak-anak serta membendung pengaruh negatif.
Menurut beliau, isu penyalahgunaan dadah dan substan masih menjadi cabaran kepada masyarakat di Bau meskipun pihak berkuasa terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan.
“Gejala ini menjadi satu masalah besar kepada komuniti dan kita harus mencari cara untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam menanganinya.
“Walaupun tidak dapat dibanteras sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat mengawal dan mengurangkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena pelancaran Persatuan Kebajikan Wanita Singai di Dewan Datuk Peter Nansian Ngusie, Pusat Pertubuhan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS), di sini, pada Sabtu.
Datuk Henry yang juga Pengerusi Pusat Intervensi dan Pembangunan Komuniti (CDIC) Daerah Bau berkata, sokongan moral kepada bekas penagih selepas keluar dari pusat pemulihan perlu diteruskan bagi membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik.
Katanya, usaha menangani penyalahgunaan dadah dan substan serta aktiviti lumba haram perlu dilaksanakan secara bersama bagi memastikan pembangunan fizikal dapat diseimbangkan dengan kesejahteraan masyarakat.
“Di kala kita sedang rancak membangun dengan pesat, kita sering kali berhadapan dengan cabaran untuk mengimbangi antara kemajuan fizikal dan kelestarian hidup apabila berhadapan dengan isu penyalahgunaan dadah dan substan serta aktiviti lumba haram,” ujarnya.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Persatuan Kebajikan Wanita Singai Elizaberth Nayong, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Presiden REDEEMS Datuk Peter Nansian Ngusie, Timbalan Pengarah (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Dr. Les Met, Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping, Ahli Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Charles Chad Nissom, Pemanca Masyarakat Bidayuh Daerah Bau Pemanca Robert Tom Juin dan Penghulu Kawasan Singai Penghulu Morris John Siren.- EDISI UKAS