UNIFOR Salur RM95,000 Bantu Lengkapkan Gereja BEM Permyjaya Bahasa Iban
MIRI: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyalurkan bantuan RM95,000 bagi membantu melengkapkan keperluan Gereja BEM Permyjaya Bahasa Iban (RC1) di Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, peruntukan tersebut digunakan bagi membiayai pembelian kelengkapan gereja berkenaan.
Menurut beliau, penyaluran bantuan melalui UNIFOR mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menghormati kebebasan beragama serta memberi ruang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama untuk hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni.
“Masyarakat Sarawak mempunyai tradisi menyambut dan meraikan perayaan pelbagai agama secara bersama, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan serta saling menghormati yang menjadi kekuatan negeri ini,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian peruntukan tersebut pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut menyentuh beberapa pembangunan infrastruktur di Miri, termasuk perkhidmatan bas percuma, projek jalan baharu ke Mulu, pembangunan Pelabuhan Miri serta kerja-kerja naik taraf Lapangan Terbang Miri dengan peruntukan RM445 juta.
Katanya, pembangunan berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kemudahan asas dan kesalinghubungan di Miri, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi kawasan utara Sarawak.-EDISI UKAS