Pelan Pembangunan Limbang-Lawas Maksimumkan Potensi Ekonomi Utara Sarawak
LIMBANG: Pelan pembangunan Limbang dan Lawas dilihat mampu memaksimumkan potensi ekonomi di wilayah utara Sarawak melalui perancangan yang lebih tersusun serta penglibatan konsultan, sekali gus mengoptimumkan sumber dan kedudukan strategik kawasan tersebut.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kedudukan Limbang yang bersempadan dengan Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur, Indonesia serta berhampiran Labuan memberi kelebihan strategik kepada kawasan berkenaan.
“Pelan pembangunan tempatan ini akan menjadi garis panduan penting dalam mengenal pasti potensi sumber serta memanfaatkan kedudukan strategik Limbang dan Lawas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Pesta Limbang 2026, di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, pembangunan infrastruktur seperti Lebuh Raya Pesisir Utara dan Lebuh Raya Trans Borneo, selain peningkatan kemudahan bekalan air serta sistem telekomunikasi telah membawa perubahan menyeluruh kepada kawasan tersebut.
Katanya, pelan pembangunan tempatan yang dirangka akan menjadi garis panduan dalam memaksimumkan potensi kawasan serta memperkukuh kerjasama rentas sempadan dengan Brunei Darussalam, Indonesia, Sabah dan Labuan.
Tambah beliau, Limbang dan Lawas mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan termasuk ekopelancongan, pelancongan komuniti, pelancongan budaya dan makanan, selain pembangunan agro-makanan bagi menjamin keselamatan makanan serta meningkatkan perdagangan rentas sempadan.
“Tiada pilihan lain selain kita bekerjasama antara satu sama lain bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu turut menegaskan kepentingan kerjasama semua pihak termasuk jabatan kerajaan, agensi, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan perancangan pembangunan berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk penyertaan dari Brunei dan Sabah yang disifatkan memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha tempatan serta memperkukuh perpaduan masyarakat di Limbang.
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Rozita Kulai, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal serta tetamu lain.-EDISI UKAS