Miri Special Needs Fest 2026 Perkasa Masyarakat Inklusif
MIRI: Miri Special Needs Fest 2026 menjadi platform penting memperkasa masyarakat inklusif dengan memberi ruang kepada golongan berkeperluan khas menyertai aktiviti kemasyarakatan, menonjolkan bakat serta berinteraksi bersama komuniti.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembentukan masyarakat inklusif memerlukan kerjasama semua pihak termasuk keluarga, sekolah, pertubuhan masyarakat, sektor perniagaan, sukarelawan, golongan profesional dan orang awam.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang kepada golongan berkeperluan khas menyertai aktiviti sosial, malah membantu masyarakat memahami pengalaman, keupayaan dan potensi golongan tersebut.
“Pemahaman merupakan permulaan kepada inklusiviti. Apabila terdapat pemahaman yang lebih tinggi, kita dapat membina masyarakat yang mempunyai lebih empati, penerimaan dan sokongan,” katanya ketika merasmikan program itu, di PermyMall, Miri pada Ahad.
Dato Sri Lee turut menegaskan bahawa pembangunan masyarakat tidak seharusnya diukur berdasarkan pembinaan infrastruktur dan kemudahan fizikal semata-mata, tetapi turut merangkumi kekuatan hubungan sosial, keprihatinan dan sifat penyayang dalam komuniti.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kejayaan WOW Smartcut Gaya N75 Senadin yang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai pencapaian yang membuktikan kemampuan masyarakat mencapai sesuatu matlamat melalui kerjasama dan semangat berganding bahu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 40 tukang gunting rambut yang menyumbangkan masa, tenaga dan kemahiran dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
Miri Special Needs Fest 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan nyanyian, tarian, koir dan fesyen di pentas utama, selain zon kreatif yang menyediakan aktiviti seni dan kraf, melukis, mural serta bengkel kraftangan.
Program berkenaan turut mengetengahkan gerai hasil kraftangan golongan berkeperluan khas, karya seni, produk buatan sendiri, tanaman dan aksesori, di samping aktiviti kekeluargaan seperti zon kanak-kanak, permainan, seni belon dan lukisan muka.-EDISI UKAS