Santuni MADANI Erat Hubungan Kerajaan, Masyarakat Lambir
MIRI: Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) 2026 di Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir menjadi wadah mempererat hubungan antara kerajaan dan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti serta perkhidmatan kepada penduduk setempat.
Program selama dua hari pada 19 dan 20 September itu turut memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan serta menyertai aktiviti yang disediakan.
Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, Santuni MADANI bertujuan merapatkan jurang antara pembuat dasar dengan rakyat di peringkat akar umbi menerusi pendekatan turun padang.
“Pendekatan itu membolehkan pemimpin dan agensi kerajaan menyelami realiti kehidupan masyarakat, mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi serta mencari penyelesaian bersama komuniti,” katanya semasa merasmikan program tersebut pada Sabtu.
Pelbagai pengisian turut diadakan sepanjang program termasuk gotong-royong, senam aerobik dan Zumba, saringan kesihatan, Jualan Rahmah MADANI, pameran agensi kerajaan, demonstrasi kebakaran, pertandingan karaoke serta aktiviti kanak-kanak.
Aspek keselamatan digital turut diberi perhatian menerusi ceramah ‘Jerat Digital’ oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan ancaman penipuan dalam talian.
Selain itu, ceramah ‘Ada Apa Dengan Gaming’ oleh Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) memberi pendedahan mengenai risiko unsur ekstremisme, keganasan dan pengaruh negatif dalam permainan video.-EDISI UKAS