MIRI: Generasi muda perlu mengenali, memahami dan menghargai warisan budaya Hakka bagi memastikan nilai, tradisi serta identiti masyarakat berkenaan terus dipelihara dan diwarisi.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bahasa, makanan, perayaan, muzik, sejarah dan kisah keluarga merupakan elemen penting dalam memastikan kelangsungan budaya Hakka.
Menurut beliau, masyarakat Hakka perlu terus mempertahankan nilai rajin bekerja, berjimat cermat, hidup sederhana, mementingkan pendidikan serta semangat perpaduan dan saling membantu.
“Jika generasi muda dapat mengenali dan menghargai warisan tersebut, budaya kita akan terus hidup dan diwarisi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Perayaan Pertengahan Musim Luruh anjuran Persatuan Hakka Miri bertemakan ‘Semangat Hakka Satu Keluarga’ di sebuah restoran, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, tradisi dan kemodenan tidak bercanggah, malah teknologi digital boleh dimanfaatkan bagi mendokumentasikan serta menyebarkan warisan budaya Hakka melalui tulisan, rakaman video dan arkib digital.
Tambahnya, budaya Hakka merupakan sebahagian daripada kepelbagaian budaya Sarawak yang perlu terus dipelihara menerusi penglibatan dan penghargaan generasi muda.-EDISI UKAS