Biro Keselamatan Rumah Panjang Perlu Diperkasa, Pastikan Keselamatan Penduduk
TATAU: Biro Keselamatan di rumah panjang perlu diperkasa bagi memastikan aspek keselamatan penduduk diberi perhatian berterusan, khususnya dalam menghadapi risiko kebakaran dan kecemasan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, biro berkenaan perlu memainkan peranan aktif dengan melantik ahli yang bertanggungjawab membantu memastikan aspek keselamatan rumah panjang sentiasa diberi perhatian.
Menurut beliau, penduduk juga perlu mempunyai pengetahuan berkaitan teknik memadam kebakaran serta memastikan kemudahan asas seperti alat pemadam api disediakan dan berada dalam keadaan baik.
“Langkah-langkah pencegahan kebakaran perlu diberi perhatian oleh semua penduduk dan panduan yang diberikan oleh pihak bomba hendaklah dipraktikkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bomba Komuniti Rumah Jana, Sungai Muput Kanan, di sini pada Ahad.
Dato Sri John turut mengingatkan penduduk supaya memberi perhatian terhadap keselamatan elektrik, termasuk memastikan kerja-kerja penyambungan elektrik dilakukan oleh kontraktor yang diluluskan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Katanya, penggunaan soket secara berlebihan dan perkongsian terlalu banyak palam pada satu punca elektrik perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko litar pintas dan kebakaran.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk supaya menggunakan peralatan elektrik yang mempunyai piawaian keselamatan dan pensijilan SIRIM serta tidak mengutamakan barangan elektrik murah tanpa jaminan keselamatan.
Program turut diserikan dengan ceramah pencegahan kebakaran dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, selain ceramah pencegahan penyalahgunaan dadah oleh pihak polis.-EDISI UKAS