Program Bantuan Lesen Motosikal B2 Bantu Ringankan Beban Masyarakat Pujut
MIRI: Program Bantuan Lesen Memandu Motosikal (B2) Fasa 2 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut membantu meringankan kos mendapatkan lesen, khususnya bagi masyarakat yang bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, menerusi program berkenaan, peserta hanya perlu membayar RM250 bagi mengikuti proses mendapatkan Lesen Memandu Motosikal Kelas B2.
Menurut beliau, bantuan tersebut amat bermakna kepada pelajar, golongan yang baru memasuki alam pekerjaan serta keluarga yang menggunakan motosikal untuk urusan harian.
“Bagi seorang pelajar, motosikal mungkin digunakan untuk pergi ke sekolah atau kolej, manakala bagi mereka yang baru memasuki alam pekerjaan, motosikal mungkin merupakan satu-satunya pengangkutan untuk pergi bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bantuan Lesen Memandu Motosikal (B2) Fasa 2 2026 yang disertai seramai 169 peserta di Auditorium SM Pei Min, Miri, pada Ahad.
Adam Yii berkata, program tersebut merupakan kesinambungan Fasa 1 yang dilaksanakan pada Julai lalu sebagai usaha membantu masyarakat mendapatkan lesen memandu dengan kos yang lebih rendah.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan peserta supaya tidak melihat program tersebut sekadar sebagai peluang mendapatkan lesen, sebaliknya memahami tanggungjawab sebagai penunggang motosikal dengan mengutamakan keselamatan dan disiplin di jalan raya.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya menggunakan motosikal untuk tujuan bermanfaat seperti ke sekolah, bekerja, membantu keluarga dan mencari rezeki, selain menjauhi perlumbaan haram serta aktiviti mat rempit.-EDISI UKAS