Elias Ayan, Penan Dari Long Sait Akhirnya Miliki Lesen Motosikal
LONG LAMA: Jarak dan akses perhubungan menjadi antara cabaran yang dihadapi Elias Ayan, 52, dari Long Sait, Ulu Baram untuk mendapatkan lesen motosikal sebelum hasratnya itu direalisasikan menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2.
Bagi penduduk Penan itu, mendapatkan lesen bukan perkara mudah kerana perjalanan ke Long Lama memerlukan masa berjam-jam melalui sungai dan jalan balak.
“Perjalanan ke sini mengambil masa kira-kira 13 jam, iaitu lima jam menggunakan perahu dari Long Sait ke Long Siut, Selungo. Perjalanan mengambil masa yang lama pada musim kemarau.
“Dari Long Siut, perjalanan ke Lapok mengambil masa tujuh jam lagi sebelum sampai di Long Lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu B2 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah di Dewan SJKC Kee Tee, Long Lama pada Sabtu.
Elias merupakan antara 471 peserta dari Telang Usan yang menerima manfaat menerusi program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak.
Sebagai peserta dari lokasi paling jauh, Elias turut menerima sebuah helmet daripada JPJ Sarawak sebagai penghargaan atas komitmennya menyertai program berkenaan.
“Saya merasa bangga kerana akhirnya memiliki lesen motosikal dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membawa kemudahan itu lebih dekat kepada masyarakat pedalaman,” ujarnya.
Beliau berharap program itu dapat diperluaskan ke kawasan lebih jauh seperti Long Banga, bagi membolehkan lebih ramai penduduk kawasan itu memiliki lesen.– EDISI UKAS