Hari Terbuka PIBG SK Tudan Perkukuh Hubungan Sekolah, Keluarga Dan Komuniti
MIRI: Hari Terbuka PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan 2026 menjadi platform memperkukuh hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti menerusi pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada murid serta keluarga.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam menyediakan persekitaran yang menyokong perkembangan serta kesejahteraan murid dan keluarga.
Beliau berkata, Jualan Rahmah memberi peluang kepada keluarga mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah dan berpatutan, sekali gus membantu meringankan kos perbelanjaan harian.
Katanya, inisiatif tersebut turut mencerminkan semangat prihatin dan saling membantu dalam kalangan masyarakat setempat.
“Jualan Rahmah merupakan satu inisiatif yang baik kerana barangan keperluan dapat ditawarkan pada harga lebih rendah melalui sokongan dan subsidi kerajaan, sekali gus memberi manfaat kepada keluarga, khususnya dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka PIBG SK Tudan 2026, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Lee menambah, beliau turut berbesar hati melihat penglibatan SPARK Playground kerana aktiviti bermain merupakan sebahagian penting dalam perkembangan kanak-kanak.
Menurutnya, permainan yang selamat dan bermakna dapat membantu membangunkan keupayaan fizikal, kreativiti, keyakinan diri dan kemahiran sosial.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa kejayaan anak-anak bergantung kepada kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti. Katanya, guru memberikan bimbingan, ibu bapa menyediakan sokongan, manakala komuniti pula mewujudkan peluang yang dapat membantu menyediakan asas lebih kukuh untuk perkembangan dan kejayaan murid.
Sehubungan itu, beliau memuji pihak SK Tudan, PIBG dan Jawatankuasa HIP kerana terus menganjurkan program yang memberi manfaat kepada murid, keluarga dan komuniti sekitar.-EDISI UKAS