MIRI: Golongan belia diseru supaya tidak sekadar menimba ilmu dan mengumpul idea melalui program pembangunan kemahiran dan keusahawanan, sebaliknya perlu menterjemahkan ilmu yang diperoleh kepada tindakan bagi membina masa depan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan) Sarawak Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, nilai sesebuah program bukan hanya terletak pada apa yang disampaikan, tetapi lebih penting kepada tindakan peserta selepas program berkenaan berakhir.
“Jangan pulang hari ini hanya dengan satu idea. Pulanglah dengan satu tindakan. Idea kalau tidak dilaksanakan hanya akan tinggal idea,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program Bicara Ilmu Belia “Belia Koperasi, Daripada Kemahiran Kepada Keusahawanan” di Dewan Serbaguna Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir itu berkata, belia khususnya lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu melihat kemahiran yang dimiliki sebagai asas untuk meneroka peluang yang lebih luas, termasuk bidang keusahawanan.
Menurutnya, perubahan teknologi, robotik dan kecerdasan buatan (AI) turut mengubah keperluan tenaga kerja, sekali gus menuntut belia terus meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
Ujarnya lagi, sektor koperasi juga wajar diterokai sebagai salah satu platform keusahawanan kerana kekuatan individu boleh digabungkan melalui usaha bersama.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Mohd Zaib Mat Yunus berkata, kerjasama IKMa dan IKBN Miri penting dalam mempertemukan kemahiran dengan peluang, khususnya bagi memperkenalkan dunia koperasi kepada generasi muda.
Beliau berkata, pada 2025, sebanyak 16,468 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan keanggotaan 7.33 juta orang dan jumlah perolehan RM81.62 bilion.
Program anjuran IKMa itu turut menampilkan sesi ceramah “Kenali Koperasi: Platform Belia Membina Peluang Bersama” oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, sesi soal jawab, kuiz serta Forum Santai “Dari Kemahiran ke Pasaran: Realiti, Sokongan dan Peluang Keusahawanan Belia TVET”.
Hadir sama, Pengarah IKBN Miri, Mohamad Mazlan Anis; Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Bahagian Miri, Lily Fawziah Adnan yang mewakili Pengarah SKM Negeri Sarawak serta Pengarah IKMa Zon Sarawak, Siti Mairnunah Jerni.-EDISI UKAS