Loji Rawatan Air Baharu RM160.69 Juta Perkukuh Bekalan Air Di Lawas
LAWAS: Sistem bekalan air di Lawas bakal diperkukuh menerusi pembinaan Loji Rawatan Air Baharu Pengalih, Lakutan bernilai RM160.69 juta yang dijadualkan siap pada Disember 2028, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperluas liputan bekalan air bersih kepada penduduk.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu merupakan sebahagian daripada perancangan menyeluruh bagi membangunkan sistem bekalan air serantau yang lebih bersepadu, stabil dan mampan.
Menurut beliau, loji baharu berkenaan akan melengkapi sistem bekalan air sedia ada di Trusan menerusi rangkaian pengagihan yang saling menyokong bagi memenuhi keperluan penduduk, termasuk di Lawas Damit, kampung-kampung sepanjang laluan berkenaan serta kawasan Merapok.
“Dengan adanya sistem ini, kita dapat meningkatkan kapasiti bekalan air dan memperluas liputan ke kawasan-kawasan yang sebelum ini sukar disambungkan disebabkan faktor bentuk muka bumi dan akses jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Loji Rawatan Air Pengalih, Lakutan, di sini pada Selasa.
Datuk Amar Awang Tengah menjelaskan, pembangunan loji itu turut mengambil kira keperluan sistem pengagihan secara menyeluruh, termasuk pembinaan tangki air aras tinggi, kemudahan penyimpanan dan pemasangan sambungan paip sehingga ke rumah penduduk.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan peningkatan kapasiti pengeluaran air dapat diterjemahkan kepada bekalan yang lebih menyeluruh dan berkesan, khususnya kepada masyarakat luar bandar.
Bagi kawasan yang sukar dihubungkan dengan rangkaian paip utama pula, Kerajaan Sarawak turut menyediakan penyelesaian menerusi sistem bekalan air kendiri, termasuk pelaksanaan program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).
Sementara itu, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak berkenaan mempunyai kapasiti awal pengeluaran sebanyak 20 juta liter air sehari dan berpotensi ditingkatkan sehingga 60 juta liter sehari berdasarkan keperluan masa hadapan.
Skop pembinaan turut merangkumi kemudahan muka sauk air mentah berkapasiti 60 juta liter sehari serta pemasangan saluran paip utama bagi menyokong sistem pengagihan bekalan air di kawasan terbabit.
Projek yang memulakan kerja pembinaan pada 8 Jun 2026 itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 8 Disember 2028.
Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datu Jafri Lias, Pemangku Pengarah JBALB Sarawak, Tamida Da’adi, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jienal Abiedin Dato Pengiran Jawa.-EDISI UKAS