Perpaduan Masyarakat, Sumbangan Komuniti India Perkukuh Pembangunan Sarawak
KUCHING: Sumbangan komuniti India dalam pelbagai bidang profesional serta kepimpinan wanita dalam pembangunan masyarakat terus menjadi sebahagian daripada kekuatan perpaduan dan pembinaan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, saiz sesebuah komuniti bukan ukuran utama sumbangannya kepada negeri, sebaliknya peranan dan penglibatan setiap masyarakat dalam pembangunan bersama.
“Bukan soal sebesar mana sesebuah komuniti itu, tetapi sejauh mana sumbangan yang mampu diberikan.
“Apabila wanita bersatu dalam semangat solidariti, mereka bukan sahaja berkongsi idea, malah mampu membina gerakan, memperkukuh keluarga dan membawa perubahan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA), di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, meskipun komuniti India merupakan kelompok minoriti di Sarawak, sumbangan mereka merangkumi pelbagai sektor termasuk bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perundangan.
Katanya, penglibatan semua komuniti tanpa mengira latar belakang kaum dan agama penting dalam mengekalkan perpaduan serta kestabilan yang menjadi asas kepada pembangunan Sarawak.
Dalam pada itu, Datuk Amar Dr Sim turut mengiktiraf kepimpinan Penghulu Lucy Lingham yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada kebajikan masyarakat, malah berperanan menghubungkan komuniti di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata, usaha memperkasa wanita turut memperlihatkan keupayaan mereka memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan, pembangunan keluarga dan pembentukan masyarakat.
Selian itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian pasukan Silambam Sarawak yang mencipta sejarah apabila meraih pingat emas pertama negeri itu dalam acara berkenaan pada temasya SUKMA 2026, sekali gus membuktikan keupayaan wanita Sarawak dalam bidang sukan.
Datuk Amar Dr Sim berkata, penyertaan dan sumbangan wanita serta komuniti pelbagai kaum perlu terus diberi ruang dan peluang agar bakat serta keupayaan mereka dapat dimanfaatkan dalam pembangunan negeri.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Duta merangkap Pengerusi SIWA 2026, Profesor Veena Sikri, dan Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi.-EDISI UKAS