Rangkaian Telekomunikasi Lawas Dinaik Taraf, Dijangka Siap April 2027
LAWAS: Usaha meningkatkan kualiti capaian internet di Lawas terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program pemodenan rangkaian telekomunikasi secara berperingkat yang dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir April 2027.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha memperluas liputan dan meningkatkan kestabilan rangkaian internet memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta masyarakat setempat.
Menurut beliau, masalah capaian internet yang masih lemah di beberapa kawasan, khususnya luar bandar dan lokasi titik buta, perlu ditangani secara berterusan bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan komunikasi yang lebih stabil dan berkualiti.
Sehubungan itu, beliau berharap SACOFA, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi terus memperkukuh penyelarasan bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan internet di Lawas.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Jalinan Kasih SACOFA 2026 di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menegaskan, tanggungjawab menjaga infrastruktur telekomunikasi tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa atau penyedia perkhidmatan, sebaliknya memerlukan kesedaran dan penglibatan masyarakat.
Katanya, kejadian vandalisme dan kecurian komponen menara telekomunikasi antara faktor yang menyebabkan gangguan rangkaian sehingga menjejaskan urusan harian penduduk.
“Ini adalah tanggungjawab kita bersama. Kita tidak boleh menyalahkan kerajaan, SACOFA atau syarikat telekomunikasi kerana gangguan yang berlaku berpunca daripada perbuatan kecurian dan vandalisme,” tegas beliau.
Beliau turut menyambut baik taklimat SACOFA berhubung langkah penambahbaikan jangka pendek dan perancangan jangka panjang, termasuk usaha mengoptimumkan penggunaan infrastruktur sedia ada bagi meningkatkan ketersambungan digital.
Menurutnya, akses internet yang berkualiti kini menjadi keperluan asas dalam menyokong sektor pendidikan, kesihatan dan ekonomi, selain memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan dasar, program serta bantuan kerajaan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan lebih berwaspada terhadap ancaman penipuan dalam talian, khususnya susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA, Jafer Sadiq Abdul Latip berkata, kerja menaik taraf rangkaian telekomunikasi menerusi program pemodenan rangkaian sedang dilaksanakan secara berperingkat di Lawas.
Menurutnya, pelaksanaan program yang dijangka siap sebelum akhir April 2027 itu bertujuan meningkatkan kapasiti, kestabilan dan daya tahan rangkaian bagi memenuhi keperluan digital masyarakat yang semakin berkembang.
Pada program sama, SACOFA turut menyampaikan sumbangan zakat menerusi Program Wakalah kepada 56 penerima asnaf, dua ibu tunggal, 188 warga emas serta 10 komuniti surau di Lawas sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan SACOFA, Zulkifli Morshidi, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jienal Abiedin Dato Pengiran Jawa dan bekas Pengarah Kanan MCMC Sarawak, Adiman Ajem.-EDISI UKAS